Thursday, July 21, 2011

ANUGERAH TERINDAH....

Waktu berlalu begitu pantas. Tanpa disedari sudah lebih 20 tahun usia pemergian arwah bak. Sayu hati melihat ibu. Di usia yang sudah menjangkau 65 tahun, tiada apa yang didambakan melainkan pengertian, perhatian dan kasih sayang. Betullah kata pepatah, seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Begitu sukarkah untuk mengerti isi hati seorang ibu yang membesarkan dan mendidik kita. Ibu yang tidak pernah gagal memahami lapar dahaga anaknya, penat lelah dan sakit pening tak perlu kita lafazkan, dia mengerti. Malahan dialah yang terlebih dahulu menyediakan setiap keperluan kita. Saat kita menjelang dewasa, sakit pening, lapar dahaga, sepi hati ibu gagal kita fahami. Mata hati dibutakan oleh sibuk urusan dunia. Semuanya jadi penting dan berharga dibanding ibu yang seorang. Apa yang dilakukan untuk ibu tampak besar, masa terluang untuk ibu terasa pengorbanannya sedangkan sebesar apa pun pengorbanan kita tidak akan pernah terbanding pengorbanan ibu membesarkan kita...lupa segala penat lelah ibu sebelumnya..sakit pening ibu yang terabai kerana membesarkan kita. Ibu yang dulunya sempurna dimata kita, mula ternampak cacat celanya...aduhh...hancurnya hati seorang ibu. Mulianya Allah dengan sifat Ar-RahmanNya, yang memanjangkan usia ibu dengan limpahan kasih sayangnya yang tidak pernah bertepi. Ya Allah....peliharalah iman kami, peliharalah mata hati kami agar sentiasa terlihat yang mana yang benar dan yang salah..bimbing kami disetiap atur langkah tutur bicara kami agar usia ibu yang dipanjangkan adalah untuk kami curahkan bakti dan kasih sayang kami hingga hujung usia...ameen ya rabb..

Sunday, November 8, 2009

ONE STEP CLOSER..

Drown and sightless,
in the world and its brightness,
where the seoul seeks peacefulness,
to achieve true happiness.

Everything seems wrong,
lost in finding the answer,
but still going strong,
ain't that easy to surrender.

There's a light shining my way,
guiding me on which path to follow,
please do not take that away,
for without it i'm lost & end up with sorrow.

one step closer,
1000s steps HE's already near,
no longer need to wonder,
for we have found the answer.

Wednesday, June 24, 2009

PENCARIAN

Resah gelisah di hati,
Kering tandus disirami,
Sinaran mentari duniawi,
mengejar yang tidak pasti..

Walau lemah dan lelah,
meniti perjalanan hidup ini,
Namun bangkit mengorak langkah,
Jalan berduri tetap ku gagahi..

Kini ku syukuri,
Menemui cinta yang hakiki,
Setelah pasrah mencintai,
Ku temui kebahagiaan yang dicari...

Tiada lagi yang ku ingini,
Melainkan dekat padaNya,
Jangan dicabut lagi,
Apa yang terpahat di lubuk jiwa..

Bersama kita bina,
Tembok kukuh pendinding jiwa,
Agar cintaNya terpelihara,
Subur di jiwa Selamanya...

Tuesday, December 23, 2008

SYURGA iTu iNdAH

Manusia sering didatangi ujian dalam berbagai bentuk sehinggakan kadangkala terasa letih dan lelah dalam mengharungi cubaan yang dihadapkan. Dalam kelelahan itulah kita acapkali mula mempersoalkan...mengapa jadi begini? apa salah ku? mengapa aku tidak dikurniakan kekayaan? mengapa aku tidak dikurniakan kepandaian? tidakkah Allah sayang padaku?

Mula timbul rasa tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Mula mempertikaikan kasih sayang Allah yang sebenarnya tidak terbanding dengan luasnya lautan di muka bumi ini. Mula lupa bahawa disebalik secebis kesusahan yang dihadapkan, masih ada selautan nikmat yang dilimpahkan. Kita terlupa dengan Yang Maha Hidup yang menjadikan udara untuk memberi kita kehidupan. Kita terlupa dengan Yang Maha Bercahaya yang menjadikan sang mentari untuk menyinari alam ini. Kita terlupa dengan Yang Maha Lembut yang menjadikan lembutnya cahaya sang rembulan agar tidak silau dek pandangan mata yang memandang.

Justeru diatas nama kasih sayang Allah lah kita diuji. Agar kita sentiasa ingat kepadaNya, agar kita sentiasa mensyukuri nikmatNya yang tidak terperi. Betapa besarnya kasih sayang Allah kepada hambaNya, dalam berbagai ujian yang dihamparkan, dikurniakan kita kekuatan bagi menghadapinya dan dengan kekuatan itulah kita masih hidup sehingga sekarang. Seringkali kita lupa dari mana sumber kekuatan yang kita perolehi lalu dengan megahnya berkata 'berkat ketabahan dan kesungguhan aku, aku berupaya melalui dugaan ini'. Lupakah kita akan 'Al-Jabbar' yang Maha Berkehendak yang dengan kehendakNya lah kita berupaya melalui apa jua rintangan di dunia ini.

Justeru kita diujilah, kita perlu berterima kasih kepadaNya. Diluar sana masih berapa ramai yang Allah limpahkan kesenangan sehingga kita rasakan seolah-olah mudahnya perjalanan hidup mereka, tidak banyak ranjau berduri yang perlu ditempuhi. Sebaliknya, cabaran dan dugaan yang perlu mereka tempuh itu lebih besar cuma ianya tidak zahir di pandangan mata. Alhamdulillah bagi mereka yang Allah limpahkan nikmat kepadanya dan ia sentiasa dan terus bersyukur dan dalam masa yang sama tunduk patuh pada perintahNya. Bagaimana pula bagi mereka yang lalai?!. Mereka terus dibiarkan lalai dengan limpahan kesenangan dan nikmatNya. Lalu jalan mana yang ingin kita pilih? Terus diuji dan sentiasa dekat denganNya? atau dilimpahi nikmat dan terus lalai dari jalanNya?....Na'uzubillah...

Sepanjang kehidupan kita, kita sering digambarkan dengan keindahan syurga yang tidak terhingga. Jauh lebih indah dari setiap satu keindahan bahkan sesuatu yang kita rasakan terindah yang ada di dunia ini. Siapa kata, mendapatkan syurga itu mudah? siapa kata, terus berada di jalan Allah dalam menyusuri jalan kehidupan itu mudah?. Untuk memenangi sejumlah wang tunai dan sebuah kereta seseorang perlu menyanyi dengan baik, Untuk mendapat penghargaan segulung ijazah beserta selempang mendapat gelaran pelajar terbaik dan sanjungan orang ramai seorang pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh, Untuk mendapat gelaran 'the richest businessman in the world' seorang ahli perniagaan perlu berusaha mengembangkan perniagaannya untuk mengumpul banyak harta kekayaan. Lalu, adakan ganjaran-ganjaran ini boleh dibandingkan dengan keindahan SYURGA?. Apakah hanya dengan menyanyi dengan baik, belajar bersungguh-sungguh atau berusaha keras mengembangkan perniagaan membolehkan seseorang memenangi ganjaran tidak ternilai iaitu SYURGA?. Justeru itu, Ujian yang perlu dihadapi dalam perjalanan menuju SYURGA ALLAH itu akan lebih banyak onak duri dan ranjaunya. Melihatkan ganjaran SYURGA yang begitu indah yang tidak ada tolok bandingnya dengan mana-mana nikmat kurniaanNya di dunia, sudah tentulah ujian untuk melayakkan diri menjadi ahli 'Jannatul Firdaus' itu lebih sukar.

Lalu apakah persiapan kita untuk melayakkan diri? apakah diantara usaha-usaha yang kita lakukan untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi pertemuan denganNya? apakah kita akan bertemuNya dengan buku hisab amalan kita ditangan kanan atau dikiri? artikel ini adalah untuk renungan kita bersama sebagai peringatan kepada semua juga kepada diri saya sendiri, semoga dapat memberi manfaat. Apabila ditanya "Bila mati nak masuk syurga ke neraka?" dengan mudahnya kita menjawab "nak masuk syurgalah". Ringan bibir mengungkap kata tanpa memikirkan 'LAYAKKAH AKU?', 'APAKAH YANG TELAH AKU LAKUKAN SEBAGAI PERSEDIAAN UNTUK KE SANA?'.

Sama-samalah kita berusaha ke arah mendapatkan SYURGANYA. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita agar dapat menepis segala batu-batu, duri dan ranjau yang menjadi penghalang untuk kita menggapai SYURGANYA. Semoga Allah sentiasa bersama-sama kita dan membimbing kita dalam usaha menggapai Taufiq dan HidayahNya untuk kita halusi dan hayati agar memperoleh CintaNya, Cinta kepada Allah dan RasulNya yang melebihi segala apa yang ada di dunia. Semoga kita sentiasa berada dijalanNya sehingga tibanya waktu bertemu denganNya. Amin.

Tuesday, November 11, 2008

Salam perkenalan....

Sengaja saya namakan 'journal kehidupan' kerana di sini akan saya tulis artikel-artikel yang berkait rapat dengan kehidupan kita. Apa sahaja yang saya dapat melalui pengalaman sendiri dan juga pengalaman sahabat-sahabat yang datang dan pergi sepanjang saya menjalani kehidupan sebagai pelajar. Atas minat untuk menceburi bidang penulisan secara sambilan, blog ini saya jadikan platform untuk melatih diri dan mengasah bakat yang tidak seberapa ini dengan harapan semoga ia dapat membuahkan hasil yang baik suatu hari nanti. Oleh itu, sebarang nasihat atau komen adalah sangat dialu-alukan, semoga komen dan nasihat anda dapat saya jadikan panduan dalam memperbaiki setiap kelemahan.